Friday, 27 February 2015

AKTIVITI JIRAN WANITA

Majlis akikah, berzanji dan berendoi telah diadakan di kediaman Hajjah Enon pada 28/2/2015 di Lorong Rahmat 2, Taman Temiang Jaya, Seremban, NSDK. Majlis bermula pada jam 10 pagi dan berakhir pada jam lebih kurang 12.30 tengahari. Majlis ini diadakan untuk cucunda Hajjah Enon iaitu Alfah Amina dan telah disertai oleh 12 orang ahli Jiran Wanita KRT Taman Temiang Jaya. Majlis seumpama ini kerap disertai oleh ahli Jiran Wanita dan telah menjadi aktiviti berkala sejak beberapa tahun lamanya. Semoga aktiviti seumpama ini akan berterusan demi memupuk semangat silaturrahim yang berkekalan di kalangan penduduk taman ini ke arah menepati slogan "Perpaduan Kejiranan Matlamat Bersama".







Sunday, 8 February 2015

PROGRAM SUMBANGAN MANGSA BANJIR

Satu program anjuran bersama oleh UMNO, Surau Al Mutaqqin Taman Temiang Jaya, Badan Khairat Kematian Taman Temiang Jaya, dan KRT Taman Temiang Jaya telah dianjurkan bagi tujuan mengumpul sumbangan untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur iaitu di daerah Temerloh, Pahang Darul Makmur. Program pengumpulan bantuan banjir ini telah dilaksanakan selama tiga hari bermula pada 9 haribulan Januari 2015 dan berakhir pada 11 haribulan Januari 2015. Lokasi pengumpulan bantuan adalah di Surau Taman Temiang Jaya.

KRT Taman Temiang Jaya adalah merupakan salah satu pihak yang terlibat dalam program ini. Program ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh KRT Taman Temiang Jaya dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang bagi membantu mangsa banjir. Antara barangan yang telah disumbangkan dan dikumpul ialah beras, air mineral, minyak masak, susu, gula, al-quran, sejadah, telekong, dan lain-lain barangan keperluan yang boleh digunakan dengan segera.




Penghantaran barangan sumbangan telah dilakukan pada 1 haribulan Februari 2015 ke tempat pengumpulan bantuan mangsa banjir di Kampung Pangsenan, Temerloh, Pahang Darul Makmur.
MATLAMAT DAN TUJUAN PENUBUHAN KAWASAN RUKUN TETANGGA (KRT)

Assalamualaikum wbt...Salam sejahtera dan salam perpaduan.

Ramai di kalangan kita telah pun tahu tujuan penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sesuatu kawasan kejiranan. Rukun Tetangga merupakan satu program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Malaysia. Rukun Tetangga telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1975, asalnya untuk menjamin keselamatan penduduk setempat. Satu akta yang dikenali sebagai Peraturan Rukun Tetangga 1975 (P.U.(A)279/75) telah diluluskan untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada pertubuhan tersebut.

Pada tahun 1984, fokus pertubuhan ini bertukar kepada merapatkan hubungan diantara pelbagai kaum di Malaysia. Kemudian pada tahun 2001, fokus program ini sekali lagi bertukar kepada fokus sekarang, iaitu pembangunan masyarakat setempat.

Peranan utama Rukun Tetangga ialah menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan yang bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan. Anggota kumpulan rondaan biasanya dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan tersebut. Selain itu, setiap KRT digalakkan menganjurkan seberapa banyak aktiviti berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan selain program meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum.

Semoga penubuhan KRT Taman Temiang Jaya memenuhi objektif dan tujuan penubuhan Rukun Tetangga iaitu membantu dalam pembangunan masyarakat setempat.

KRT Taman Temiang Jaya - "Perpaduan Kejiranan Matlamat Bersama".

Thursday, 5 February 2015

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

KRT Taman Temiang Jaya bersama-sama Surau Al Mutaqqin Taman Temiang Jaya telah menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Seremban Tahun 1436 Hijriah Bersamaan 2015 Masihi. Majlis sambutan ini telah diadakan pada 10 haribulan Januari 2015 bertempat di Masjid Kariah Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus. Perarakan Sambutan Maulidur Rasul bermula jam 7.30 pagi sejauh lebih kurang dua kilometer di sekitar kawasan kejiranan masjid berkenaan. Majlis sambutan berakhir jam12.00 tengahari.