Sunday, 8 February 2015

MATLAMAT DAN TUJUAN PENUBUHAN KAWASAN RUKUN TETANGGA (KRT)

Assalamualaikum wbt...Salam sejahtera dan salam perpaduan.

Ramai di kalangan kita telah pun tahu tujuan penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sesuatu kawasan kejiranan. Rukun Tetangga merupakan satu program sukarela yang bertujuan untuk membantu dalam pembangunan masyarakat setempat di Malaysia. Rukun Tetangga telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1975, asalnya untuk menjamin keselamatan penduduk setempat. Satu akta yang dikenali sebagai Peraturan Rukun Tetangga 1975 (P.U.(A)279/75) telah diluluskan untuk memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada pertubuhan tersebut.

Pada tahun 1984, fokus pertubuhan ini bertukar kepada merapatkan hubungan diantara pelbagai kaum di Malaysia. Kemudian pada tahun 2001, fokus program ini sekali lagi bertukar kepada fokus sekarang, iaitu pembangunan masyarakat setempat.

Peranan utama Rukun Tetangga ialah menganjurkan kumpulan-kumpulan rondaan yang bertugas pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan. Anggota kumpulan rondaan biasanya dianggotai oleh ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan tersebut. Selain itu, setiap KRT digalakkan menganjurkan seberapa banyak aktiviti berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan selain program meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum.

Semoga penubuhan KRT Taman Temiang Jaya memenuhi objektif dan tujuan penubuhan Rukun Tetangga iaitu membantu dalam pembangunan masyarakat setempat.

KRT Taman Temiang Jaya - "Perpaduan Kejiranan Matlamat Bersama".

No comments:

Post a Comment